November 8, 2011

PELAJAR GIAN JUDI

RAWANG:   Tanpa segan silu, segelintir pelajar berpakaian seragam sekolah berasak-asak menunggu giliran untuk melepaskan gian terhadap permainan Internet yang berunsur perjudian di beberapa pusat Internet di Taman Bersatu dan Jalan Pekan Rawang, di sini.

Malah, pemerhatian Metroplus hampir tiga jam baru-baru ini mendapati ada pelajar memasuki premis bercermin gelap itu seawal jam 11 pagi, sekali gus membuktikan mereka ponteng sekolah semata-mata mahu melepaskan gian bermain judi Internet.
Pusat Internet yang didakwa menjadi tumpuan pelajar bermain judi Internet di Taman Bersatu dan Jalan Pekan Rawang.
Tindakan pengusaha terbabit membenarkan pelajar memasuki premis berkenaan bukan saja menimbulkan kebimbangan pelajar berkenaan terbabit kegiatan tidak sihat termasuk penagihan dadah dan lepak, malah tidak menghiraukan pelajaran.

Ini kerana kebanyakan mereka menghabiskan sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam setiap hari di pusat itu dan ada antara mereka ponteng sekolah untuk mengunjungi pusat berkenaan.

LEPAS GIAN...pelajar yang dipercayai ponteng sekolah di pusat Internet terbabit.

Penduduk di sebuah taman berhampiran hanya mahu dikenali sebagai Alia, 40, mendakwa seorang rakan anaknya menghabiskan wang keluarga hampir RM3,000 kerana terlalu taksub dengan permainan judi.

“Anak saya juga terjebak permainan ini selepas terpengaruh rakan-rakannya sehingga setiap hari meminta wang daripada saya.

“Saya pernah mengintip anak di pusat Internet terbabit disebabkan pulang lewat dari sekolah dan mendapati dia asyik ‘menelaah’ komputer bersama rakan-rakannya,” katanya sambil memberitahu perangai anaknya bertambah liar dan sukar mendengar nasihat keluarga.

Pesara kerajaan, Abdul Halim Othman, 69, berkata dia sudah jelak melihat perbuatan remaja terbabit yang dipercayai berpunca daripada sikap lepas tangan pengusaha pusat hiburan itu.

Katanya, kelibat remaja tidak kira jantina memasuki premis terbabit tidak kira waktu dan ia makin mendapat sambutan luar biasa antara jam 3 petang hingga 7 malam.

“Saya pernah bertanya kepada beberapa pelajar dan mereka mengakui memasuki premis terbabit untuk melepaskan gian kepada Internet termasuk bermain judi.

“Kata mereka, caj yang dikenakan juga murah menyebabkan mereka memilih untuk ke situ berbanding premis lain di pekan ini,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Halim meminta pihak berkenaan termasuk polis supaya mengadakan pemeriksaan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas pengusaha terbabit.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohd Zin Masoad, ketika dihubungi berkata masalah judi Internet yang semakin berleluasa kini perlu campur tangan banyak pihak dalam mengatasinya.

“Setiap pengusaha perlu mengikut prosedur dengan memohon lesen perniagaan yang dikeluarkan MPS, tetapi pemantauan berterusan bagi memastikan aktiviti yang dijalankan tidak menyalahi undang-undang perlu kerjasama pihak berkuasa seperti polis.

“Aduan orang ramai juga sentiasa diberi perhatian, jika didapati pengusaha menyalahgunakan premis berkenaan sebagai tempat bermain judi tindakan tegas akan diambil apatah lagi ia membabitkan pelajar sekolah,” katanya.

*sumber : Metroplus.

No comments:

Recent Posts